Hari ini, 24 Ramadan 1429 H, bermakna sekarang kita berada dalam lingkungan sepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan ini. Beberapa hari saja lagi kita akan meninggalkan bulan yang penuh barakah ini. Ramadhan akan meninggalkan kita. Dan kita tidak tahu sama ada kita akan berjumpa dengan Ramadhan akan datang atau tidak. Adakah umur kita dilanjutkan sehingga sempat bertemu Ramadhan yang baru, atau kemungkinan inilah Ramadhan kita yang terakhir.
Maka sebelum kita meninggalkan Ramadhan ini, marilah sama-sama kita renung kembali, apakah yang telah kita isikan pada hari-hari yang lepas. Apakah amalan-amalan, ibadah-ibadah yang boleh kita persembahkan kepada Allah kelak, ibadah-ibadah yang boleh kita banggakan dihadapan Allah kelak. Sudahkah kita merebut peluang-peluang yang telah disediakan oleh Allah pada bulan Ramadhan ini, atau adakah kita telah mensia-siakannya?
Beruntunglah mereka yang telah benar-benar manfaatkan masa mereka di bulan Ramadhan ini untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah. Pada siang hari mereka berpuasa. Berpuasa bukan sahaja perut mereka, malah berpuasa seluruh anggota badan mereka. Mereka menjaga mata mereka dari melihat pandangan yang haram. Mereka menjaga telinga mereka dari mendengar yang haram. Mereka menjaga lidah mereka dari berkata yang sia-sia. Kemudian pada malam harinya, mereka penuhkannya dengan ibadah, dengan solat terawih, solat witir dan solat tahajjud. Siang dan malam mereka penuhkan masa mereka dengan membaca Al-Quran. Untuk mereka pengampunan dari Allah dan balasan yang berlipat ganda. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang seperti ini,
Adapun mereka yang cuai, yang leka dari merebut peluang bulan Ramadhan ini, maka sedarlah. Sedarlah bahawa Ramadhan adalah bulan hadiah dari Allah, bulan dimana segala pintu syurga dibuka dan segala pintu neraka ditutup. Bulan dimana Allah s.w.t melepaskan hamba-hambanya dari neraka pada setiap malam. Adakah kita termasuk dalam golongan tersebut?
Maka bagi orang-orang ini, ketahuilah bahawa Ramadhan masih ada sisa-sisa harinya. Masih ada peluang untuk merebut pengampunan dan rahmat dari Allah. Ambillah peluang ini. Rebutlah anugerah Allah. Janganlah sampai Ramadhan meninggalkan kita tanpa mendapat pengampuan dari Allah.
Sepuluh malam terakhir dari Ramadhan merupakan antara malam-malam yang istimewa. Didalamnya ada satu malam yang teramat istimewa. Malam Lailatul Qadar. Malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Alangkah beruntungnya mereka yang dapat beribadah pada malam ini. Sesungguhnya dia seperti telah beribadah lebih dari 1000 bulan atau lebih 83 tahun. Inilah hari-hari sepuluh yang terakhir. Hari-hari dimana Rasulullah s.a.w giat beribadah dan beritikaf di masjid. Bilakah akan berlaku Lailatul Qadar? Tidak ada yang tahu dengan tepat. Allah s.w.t merahsiakannya dari manusia agar kita sentiasa giat beribadah pada setiap malam, agar bersua dengan malam Lailatul Qadar.
Malangnya, pada malam-malam inilah godaan nafsu begitu kuat. Pada sepuluh hari terakhir inilah sebilangan umat Islam semakin leka dan cuai. Leka dan cuai dari beribadat kerana sibuk memikirkan dan bersiap untuk menyambut kedatangan Aidilfitri. Ada sebahagian dari kita yang sanggup mengorbankan solat Terawih mereka, hanya sekadar ingin berbelanja bagi menyambut Aidilfitri. Oleh itu kita lihat jemaah yang bersolat di masjid-masjid berkurangan apabila Hari Raya semakin dekat. Alangkah sedihnya! Alangkah ruginya!
Ada juga sebahagian kita yang sanggup mengorbankan tidur mereka kerana bersiap-siap menyambut Aldilfitri. Adakah mereka juga sanggup menggorbankan tidur mereka untuk mengerjakan solat Tahajjud dan ibadah-ibadah lain? Menjelang akhir Ramadan ini, suasana kehadiran Syawal telah mulai dirasai dimana-mana. Gedung-gedung membeli belah yang menawarkan jualan murah penuh sesak dengan para pembeli yang tidak mahu ketinggalan melengkapkan persiapan di saat akhir. Di malam hari, lampu-lampu berbentuk ketupat menghiasi jalan-jalan menjadikan pemandangan malam sungguh indah. Tidak ketinggalan para ibu mula membuat atau membeli kuih muih untuk dihidangkan di hari yang mulia ini. Nada dering bertemakan lagu-lagu aidil fitri mula kedengaran melalui telefon-telefon bimbit. Era globalisasi yang menyaksikan ledakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) seolah menggalakkan fenomena tidak sabar meninggalkan Ramadhan.
Bila diperhatikan situasi umat Islam masa kini, kita akan dapat melihat suatu keadaan yang amat menyedihkan. Disatu sisi, kita melihat umat Islam amat ghairah menjelang saat-saat akhir sebelum Pemegang Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan penetapan tarikh Syawal bagi bumi Islam Hadhari ini. Kepada pembeli, semua senarai semak (checklist) telah disiapkan. Berapa pakaian baru hendak dibeli, apa perabut yang perlu ditukar, kedai mana yang akan menyiapkan langsir. aktiviti bersolat tarawih, bertadarrus dan melakukan qiamullail yang sepatutnya direbut, diremehkan. Semuanya menjurus pada satu tujuan iaitu menyambut Syawal dengan penuh kemeriahan dan gilang-gemilang.
Pada hari raya Aidilfitri pula, seluruh umat Islam tidak kira di mana dituntut ziarah sesama sendiri tanpa mengira perbezaan martabat dan kedudukan bagi mengukuhkan lagi silaturahim. Di samping bergembira dan berpakaian cantik, kita diingatkan agar tidak lupa golongan yang kurang berkemampuan.
Percaya atau tidak, dengan tibanya hari raya, umat Islam sekali lagi akan diuji dengan dua perkara iaitu keinginan hawa nafsu dan tuntutan untuk melaksanakan perintah agama. Walaupun sepanjang Ramadan kita berjaya mengekang nafsu makan dan minum serta semua aktiviti yang tidak bermoral bagi memelihara pahala puasa, ujian yang lebih mencabar lagi ialah ketika menjelang raya. Pertama sekali, manusia akan diuji dengan tuntutan nafsu makan. Pada pagi raya pelbagai juadah disediakan bagi meraikan hari kemenangan umat Islam. Kedua, ujian memenuhi tuntutan agama, amalan ziarah-menziarahi sesama saudara seagama atau sekadar lalai dan leka dengan berhibur depan televisyen.
Seperti tahun sebelumnya, musim perayaan sinonim dengan sambutan yang penuh kemeriahan dan penuh dengan hiburan serta keseronokan. Ketika inilah manusia seakan membalas dendam dengan melakukan apa saja yang terhalang ketika dalam Ramadan.
Manusia berlumba-lumba memenuhi segala keperluan diri dari segi pakaian baru yang cantik, kelengkapan hiasan yang serba baru dan mewah serta pelbagai aktiviti hiburan berlebihan. Lebih mengharukan ada umat Islam ini yang berbelanja berlebihan hingga berlaku pembaziran dan lebih mengutamakan hiburan daripada amalan ziarah-menziarahi dan tolong-menolong sesama Muslim. Tambahan pula apabila program hiburan begitu banyak di televisyen, amalan ziarah-menziarahi sudah tidak kerap dilakukan masyarakat terutama golongan muda. Mereka lebih gemar menonton program hiburan di TV.
Fenomena ini mengelirukan masyarakat mengenai yang mana satu perlu diutamakan, sama ada duduk di rumah saja sambil berhibur dan menghabiskan sendiri kuih muih atau memenuhi tuntutan agama, menziarahi saudara mara dan jiran tetangga. TV bukan saja memberi kepuasan kepada penonton, malah berperanan sebagai pengisian agenda hari raya. Keadaan seperti ini sebenarnya mendatangkan masalah kepada individu dan masyarakat.
Mereka gagal memberikan keutamaan yang sepatutnya pada hari raya. Mereka gagal melaksanakan tuntutan agama iaitu menyambut perayaan sebagai landasan bagi mengeratkan persaudaraan dan semangat perpaduan. Mereka juga gagal dalam menghayati erti sebenar perayaan kerana dicemari dengan hiburan yang menyalahi tuntutan agama. Keinginan yang tinggi untuk menonton TV daripada menziarahi saudara mara adalah satu penyakit atau gangguan yang melanda umat Malaysia. Yakinlah, satu hari nanti amalan ziarah-menziarahi pada hari raya tidak akan dapat dinikmati dengan meriah oleh cucu cicit kita jika perkara sedemikian tidak dibendung dan diatasi dengan penuh hikmah. Adalah menjadi harapan agar timbul kesedaran dalam diri kita supaya dapat membuat perancangan awal untuk menziarahi saudara mara pada hari lebaran nanti daripada menonton TV kerana Aidilfitri hanya setahun sekali. Sekian, Wallhua’lam.